Showing posts with label Novel. Show all posts
Showing posts with label Novel. Show all posts

Undang-undang Cinta 4

Wednesday, March 21, 2012 | Comment
[Kredit]

Pooonnn! Pooonnn!

“Assalamualaikum. Ibtisam ohh Ibtisam.” Faisal, posmen di kampung itu memang sudah mengenali Ibtisam. Bahkan seluruh keluarga Ibtisam itu dia kenal. Apa taknya, sejak Nur Ibtisam berpindah ke Kedah dia cuba tackle anak Mak cik Izzah ni. Tapi masalahnya Nur Ibtisam ni hati batu betul. Bermacam-macam cara dah digunakannya, namun tak berjaya. Pernah juga dia memberikan surat cinta kepada Nur Ibtisam dan mendapat balasan yang juga merupakan surat. Seronok bukan kepalang. Namun, yang diterima adalah sebaliknya. Bukan surat cinta, tetapi surat ugutan daripada Encik Shafie, ayah Nur Ibtisam. Semenjak hari itu, dia sudah tidak berani menghantar surat cinta. Karang tak pasal-pasal makan parang. Walau bagaimanapun, dia tidak pernah berhenti berputus asa. Pantang anak Melayu berputus asa. Woha!

“Waalaikumussalam.” Puan Izzah menjawab. Dijenguknya ke luar rumah. Dilihatnya Faisal tersengih-sengih atas motosikal merahnya itu. Kantung beg di kiri dan kanan motor sarat dengan surat-surat yang perlu dihantar.

“Mak cik, ini ada surat untuk Ibtisam.” Sepucuk sampul surat dihulurkan kepada Puan Izzah. Manakala matanya meliar-liar ke dalam rumah. Mencari Nur Ibtisam. Rindu pula rasanya. Gatal sungguh kau ni Faisal. Memang patut kena reject pun.

“Kamu cari apa Faisal?” Puan Izzah menegur.

“Ermm..Ibtisam tak dak kat rumah ke mak cik?” Malu-malu dia bertanya. Hehehe!

“Ada kat dapur, tengah memasak. Kenapa?”

“Saja je tanya. Lama tak nampak.”

“Bukan petang semalam kamu dah nampak dia ke?”

“Eh, ya ka mak cik? Bila tu?” soal Faisal berpura-pura tidak ingat.

“ Petang semalam la. Masa kau datang amek buah nyior kat rumah mak cik ni. Tak ingat.”

“Oh, ya tak ya juga kan. Baru saya ingat.” Pandai sungguh Faisal berlakon. Kenapa kau tak jadi pelakon aje Faisal. Sempat lagi nak mengorat anak dara orang. Teringan nak makan parang gamaknya.

“Tak ingat ke buat-buat tak ingat? Bukan mak cik tak tahu kamu tu selalu sangat dok mengayat Ibtisam tu.” Puan Izzah serkap jarang. Faisal menggaru-garu kepalanya yang tak gatal itu. Aiseh! Kantoi la pulak.

“Tak apa la mak cik. Saya gerak dulu la. Banyak lagi surat yang saya belum hantar ni.”

“A’ah. Elok sangat la tu. Lebih baik kamu siapkan kerja kamu tu daripada dok mengorat anak dara orang. Baru la berkat kerja kamu tu.”

“Baiklah mak cik. Saya pergi dulu. Assalamualaikum.” Laju saja motor si Faisal meluncur. Tak sanggup lagi berlama-lama di situ. Karang free aje dengar ceramah. Huhu! Puan Izzah sekadar menjawab salam di dalam hatinya sambil tersengih. ‘Cuak la tu.’

“Surat siapa tu umi?” Soal Nur Ibtisam dari arah dapur.

“Surat kak long la.” ringkas Puan Izzah menjawab. Surat diletakkan di atas meja makan. Pisau diambil dan  kembali sambung memotong sayur lobak untuk dibuat sup sayur. Nur Ibtisam yang baru sahaja selesai menggoreng ayam berempah melangkah ke meja makan. Sebelah tangannya memegang pinggan. Diletaknya ayam berempah itu di atas meja. Kemudian, surat diambil dan dibaca.

“Surat daripada siapa tu kak long?”

“Daripada Siddiq & Co. umi. Kak Long diterima bekerja kat situ.” Matanya tidak berkelip. Tidak percaya yang dia diterima bekerja di situ. Padahal jawatan yang ditawarkan adalah bukan daripada bidangnya. Malahan dia langsung tidak tahu-menahu skop jawatan sebagai seorang PA.

“Alhamdulillah.” Puan Izzah menadah tangan memanjat kesyukuran. Doanya siang dan malam akhirnya termakbul. Syukur ya Allah.

“Bila mula kerjanya kak long?” soal  uminya lagi.

“Isnin minggu depan.”

****************************************************

“Hurm...”

Ibtisam mengeluh panjang. Semenjak terima surat  tengah hari tadi, dia asyik mengeluh. Entah kenapa hatinya rasa gelisah. Dia mengiring ke kanan. Sampul surat yang berwarna putih di atas meja solek dipandang sekilas. Lagi 4 hari dia akan memulakan tugas barunya di Shah Alam. Agak lama dia meninggalkan Shah Alam sejak menamatkan ijazahnya di UiTM. Selepas ini, dia terpaksa kembali ke sana semula. Apakah dia sudah cukup bersedia untuk menjejakkan kaki ke sana? Dia sendiri pun tak pasti. Bukan kerana jawatan yang bakal disandangnya nanti tetapi kerana hal yang satu itu. Hal yang sukar untuk dilupakan. Dia sendiri hairan kenapa payah sangat untuk dia melenyapkan sebaris nama itu daripada ingatan. Padahal dia bukanlah gadis yang suka ambil serius tentang suatu perkara yang tidak menjadi keutamaannya. Tambahan pula perkara yang berkaitan dengan lelaki. Lagilah mudah dia lupuskan daripada fikirannya. Hanya semudah ABC. Namun, apabila ianya berkaitan dengan lelaki itu, hatinya serba tak kena. Walaupun sudah tiga tahun lebih dia tidak bersua muka mahupun berhubung dengan si dia, hati dan perasaanya tetap sama. Tak ada yang berubah. Hatinya pasti berdegup kencang tatkala terfikirkannya.

“Ya Allah, kuatkanlah hati hambaMu ini. Peliharalah aku daripada kemaksiatan dan kemurkaanMu ya Allah. Aku memohon padaMu ya Allah, pimpinlah hatiku ini ke jalan yang diredhaiMu. Janganlah kau biarkan ia terjerumus ke lembah maksiat yang penuh dengan dosa dan noda. Hanya kepadaMU ya Allah aku memohon. Aku berserah diri padaMu, Tuhan sekalian makhluk. Tiada lagi tempat untukku mengadu selain kepadaMu ya Allah. Amin ya robb al-‘alamim."

Mukanya diraup perlahan mengaminkan doanya dalam hati. Air mata dipupuk mata disapu dengan hujung jari. Tiada apa yang penting melainkan keredhaan Allah. Biarlah dia berserah segala-galanya kepada Allah. Hanya Dia yang Lebih Mengetahui.

Lampu meja sisi ditutup. Matanya dikatup rapat. Terasa sedikit kelegaan. Akhirnya dia terlelap bersama mimpi-mimpi indah. Semoga hari esok memberikan seribu kenikmatan daripada hari ini. Ameen!

Undang-undang Cinta 3

Thursday, February 23, 2012 | Comment
[Kredit]

“Nur Ibtisam bt. Muhammad Shafie.” Akhirnya nama dia dipanggil. Hampir sejam juga la dia berada di situ. Di Siddiq & Co. Sudah kematu ja rasa bontotnya itu.

‘Bismillahirahmanirrahim.’ Doa dibaca didalm hati. Kakinya melangkah yakin ke bilik mesyuarat. Bilik di mana dia akan ditemuduga. Pintu bilik diketuk. Sesaat kemudian barulah kedengaran suara yang menyuruhnya masuk.

“Silakan duduk.” Pelawa seorang wanita. Anggun dan bergaya orangnya. Di sebelah kanan wanita tersebut ada lagi seorang penemu duga. Lelaki. Boleh tahan handsome tapi serius sangat la pulak. ‘Cuba senyum kat aku ni ha! Buruk sangat ke rupa aku ni sampai tak boleh nak senyum’. Sempat lagi Nur Ibtisam membuat penilaian. Sepatutnya dia yang dinilai bukannya dia yang membuat penilaian. Haila.

“Nur Ibtisam.” Namanya dipanggil.

“Ya, saya.” Jawabnya sopan.

“Awak buat  apa sekarang ni?” soal lelaki tadi. Mukanya masih serius.

“Saya sedang ditemuduga oleh encik la. Buat apa lagi.” Jawabnya tanpa berfikir panjang. ‘Iyelah kan. Soalan budak tadika. Buat apa nak fikir pulak. Kacang aja tu.’ Manakala, jawapan yang diberikan Nur Ibtisam itu membuat Maisara tergelak kecil. Sungguh tak disangka dengan jawapan yang diberikan Nur Ibtisam itu. Matanya sempat memandang Khalid di sebelah. Tetap dengan wajah yang serius.

“Tak, maksud saya awak kerja atau sedang menganggur sekarang ni?”

“Oh! Itu ke maksud soalan encik tadi. Maaflah, saya salah faham pula. Hehe! Nur Ibtisam sudah tersengih memandang wajah-wajah di hadapannya itu sebelum kembali bersuara,

“Saya kerja encik. Cikgu sandaran kat sebuah pondok agama.”

“Awak mengajar apa?” kini Maisara pula yang menyoal.

“Saya ajar budak-budak mengaji ja.” Jawabnya merendah diri.

“Kenapa tak jadi peguam je. Awak kan ada kelulusan dalam bidang tu?” tegas sekali nada itu.

‘Hisy! Mamat ni, tak reti nak senyum ke. Serius sangat. Aku nak jawab pun takut.’ Hatinya sempat berbisik.

“Tak ada rezeki encik. Sebab tu la saya datang cuba nasib kat sini. Mana la tau kot-kot ada rezeki saya kat syarikat encik ni.” Ramah pulak Nur Ibtisam hari ni. Selalunya dia jenis yang pendiam. Sepatah yang ditanya, sepatah yang dia jawab. Mungkin kerana bukan atas kerelaan hatinya untuk menghadiri temuduga  jadi, dia tak kisah sangat kalau dia tidak diterima bekerja.

“Awak belajar kat UiTM Shah Alam yer?”

“A’ah. Kenapa cik? Cik pun belajar kat situ juga ke.” Banyak pula soalan si Nur Ibtisam ni. Nampak sangat dia betul-betul tak kisah. Datang temuduga sekadar memenuhi permintaan uminya sahaja.

“Eh, tak la. Cuma, kawan saya study kat situ. Syarikat ni dia la yang punya.” Jelas Maisara. Tak penah lagi dia jumpa calon temuduga yang sebegini ramah. Dah tu, banyak pula soalannya.

“Ohh…” muncung je mulutnya. Dah macam itik rupanya itu. “Mesti dia kaya kan? Sebab tu la ada syarikat sendiri.” sambungnya lagi.

“Boleh tahan berada juga la family dia tu.”

"Kalau macam tu, cik Maisara study kat mana?" soalnya lagi

"Saya belajar kat UIA je." Maisara tersenyum. Tak sangka cool saja Nur Ibtisam ni. Tak seperti calon-calon yang lain. Nampak sangat gementarnya.

"Best la. Dulu saya ada mintak kat situ, tapi tak dapat la pulak. Bukan rezeki saya la gamaknya tu." beritahu Ibtisam. Khalid di sebelah Maisara sekadar mendengar. Malas nak masuk campur.

"Takpe. Rezeki kan masing-masing."  kata semangat diberikan.

“Erm…Cik Maisara, rasanya saya dah tak ada soalan nak ditanya. Cik Maisara ada apa-apa lagi ke nak tanya kat dia ni.” Tiba-tiba Khalid menyampuk.

“Tak ada dah rasanya.” Jawab Maisara.

“Kalau macam tu Cik Nur Ibtisam, awak boleh keluar sekarang. Sebarang maklum balas akan kami hubungi cik Nur Ibtisam.”

“Eh, dah habis ke temuduga ni. Kejap je.” Soalnya kehairanan. Rasanya tak sampai 10 minit pun dia ditemuduga, ‘Tak kan dah habis kot?’

“Dah habis cik Nur Ibtisam. Dah tak ada apa kami nak tanya. Awak tu pun dah banyak soal kami. Macam kami ni pulak yang datang temuduga.” perli Khalid. Maisara hanya berdiam di sebelah. Tahu sangat dengan sikap khalid yang selalu serius tu.

“Maaflah encik. Terlebih ramah pulak. Hehe! Kalau macam tu saya keluar dulu la. Terima kasih.” Dia sudah bangun dari tempat duduk. Fail yang dihulurkan diambil. Dengan sopan dia mengorak langkah keluar. Namun, sebelum keluar sempat dia berpaling lalu menyoal,

“Erm, kalau boleh saya nak tahu temuduga ni untuk jawatan apa yer?”

“Awak tak tahu ke awak datang temuduga untuk jawatan apa?” soal Maisara kembali. Nur Ibtisam sekadar menggeleng. Maisara memandangnya pelik.

“Personal Assistant.” Ringkas jawapan daripada lelaki yang serius itu. Entah apa namanya pun Nur Ibtisam tak tahu.

“Ohh…” sekali lagi mulutnya dimuncungkan. Mukanya dipalingkan semula ke arah pintu keluar. Namun, sekali lagi dia berpaling.

“ Ada apa lagi cik Nur Ibtisam?” tegas sekali Khalid menyoal.

“Tak ada apa-apa. Cuma saya rasa kalau encik senyum mesti nampak lagi hensem kan? Nur Ibtisam senyum. “Terima kasih atas temuduga ni. Assalamualaikum.” Akhirnya Nur Ibtisam keluar juga dari bilik itu. Selamba ja dia memberikan pendapat. Manakala, di dalam bilik mesyuarat Maisara sudah ketawa geli hati. Mana taknya, terang-terang Khalid ditegur disebabkan sikapnya yang terlalu serius. Kepalanya sudah menunduk dan mukanya kemerahan menahan malu.

‘Cis, tak pasal-pasal kena tegur. Dah la depan Cik Maisara pulak tu’.
 ***************

“Belum ada apa-apa berita lagi ke Kak long? Dah seminggu ni.” soal Puan Izzah. Terbongkok-bongkok dia menyapu daun-daun kering di halaman rumah. Nur Ibtisam sekadar menjadi pemerhati. Bukan nak ditolongnya. Malah, sibuk mengunyah mempelam muda atas pangkin. Gaya macam orang mengidam jer kau ni Ibtisam. Tapi, takkan kot. Hehehe.

“Belum lagi la umi. Entah-entah depa tak terima kak long bekerja kat situ kot. Iyalah. Sat ja depa temuduga kak long. Macam tak berminat je nak amek kak long gheja dengan depa tu.” Terkeluar longat kedahnya. Not bad la.

“Hisy. Takkan la diorang tak nak amek anak umi ni. Entah kenapa umi rasa yang kak long akan diterima bekerja kat situ.”

“InsyaAllah umi, kalau ada rezeki ada la nanti. Kita tunggu je.”

***************
“Awak  dah pilih siapa yang awak nak ambil jadi PA awak tu?” Maisara menyoal.

“Malas la saya. Awak jelah tolong pilihkan untuk saya. Lagipun awak yang temuduga diorang tu. Awak lagi tahu siapa yang layak kan?”

“Ya Allah awak ni. Dah seminggu saya bagi semua maklumat calon-calon yang datang temuduga haritu. Saya ingatkan awak dah buat pilihan.” Maisara menggeleng. ‘Minggu lepas dia juga yang tergesa-gesa nakkan PA sampai tak menyempat. Sekarang ni boleh pula dilengah-lengahkan benda ni.’

Semenjak Anis PA kepada kawan baiknya itu berhenti bekerja 2 minggu yang lepas, boleh dikatakan hari-hari kawannya itu merungut. Ada saja yang tak kena. Disuruhnya Maisara dan Khalid lakukan temuduga bagi pihaknya dengan segera sedangkan dia outstation ke Pulau Pangkor kendalikan kes di sana.

 ‘Apa punya kawan daa. Dia yang nakkan PA kita pula yang kena uruskan.’ Rungut Maisara dalam hati.

“Alah, awak ni. Saya kan tengah busy sekarang ni. Apa salahnya awak tolong saya.” Macam tahu-tahu saja Maisara baru lepas merungut.

“Yelah-yelah. Saya tolong awak. Awakkan peguam terkenal. Selalu busy kan.” Sempat Maisara memerli.

Perlian Maisara tidak dihiraukan. Faham benar sikap Maisara. Mulut je membebel tapi hati baik. Suka sangat tolong orang. Sejak dari kecil lagi mereka berkawan baik. Tapi, tak penah pula dia rasa tertarik dengan Maisara. Maisara juga begitu. Bahkan sekarang ni Miasara adalah tunangan orang. Ada juga waktu sekolah dahulu rakan-rakan mereka cuba memadankan mereka berdua. Namun, masing-masing tidak menghiraukannya. Akhirnya, mereka still berkawan baik sampailah sekarang.

Undang-undang Cinta 2

Saturday, February 18, 2012 | Comment
[Kredit]

“Dah siap berkemas kak long?” Encik Shafie menyoal. Matanya langsung tidak dikalih daripada menonton berita. Cuma mulutnya sahaja berkata-kata.

“Dah abah.” Jawab Nur Ibtisam ringkas.

Besok sesudah subuh dia akan bertolak ke Shah Alam untuk menghadiri temuduga. Selepas makan malam tadi, uminya sudah menyerahkan alamat rumah mak longnya itu. Mak longnya pun sudah dikhabarkan berita kedatangannya itu ke sana.

“Sempat ke nak hadiri temuduga tu kak long? Umi beritahu abah tadi temuduga esok. Padahal esok pagi baru kamu nak bertolak ke sana.”

“Temuduga tu dibuat selama 2 hari abah. Yang untuk esoknya tu memang tak sempat la. Tapi, untuk yang lusanya InsyaAllah kak long pergi.” Jelas Nur Ibtisam. Memang patut pun abahnya bertanya soalan sedemikian. Mereka kini menetap di di Kedah bukannya lagi di Kelantan. Kedah dengan Shah Alam pun bukannya dekat. Memakan masa hampir 4 jam juga.

Sejak 3 tahun yang lepas mereka sekeluarga berpindah dari Kelantan ke Kedah. Ke Kampung halaman abah selepas kematian datuk sebelah uminya. Memandangkan umi sudah tidak ada saudara mara yang lain, abahnya mengajak mereka sekeluarga berpindah. Lagipun tok (nenek) sebelah abahnya itu masih hidup. Maka, menetaplah mereka di sini sehingga ke hari ini.

“Dah bagitau mak long ke kamu nak ke sana?” soal abahnya lagi.

“Dah abah. Tadi umi dah telefon mak long bagitau. Mak long bukan main seronok lagi.” Jelas Nur Ibtisam.

“Mak long kamu tu memang teringin sangat nak jumpa dengan kamu. Memang patut la dia rasa seronok. Nak pula kamu ada teman dia kat sana. Bertambah-tambah seronok la dia.” En.Shafie memandang Ibtisam di sebelah. Tersenyum.

“Yelah bah, mak long pun dah lama sangat tak balik jenguk kita kan?” Muka abahnya dipandang. Berita sukan tidak dihiraukan. Malas nak ambil tahu. Dia bukannya minat sangat pun dengan aktiviti sukan ni.

“Mak long kamu tu terlalu kecewa dengan orang kampung ni. Sebab tu la sampai ke hari ni dia taknak balik ke sini lagi. Tok kamu tu dah rindu sangat kat dia.” Terpancar riak sedih pada wajah En. Shafie. Peristiwa yang berlaku berpuluh tahun dahulu masih segar dalam ingatan.

“Abah tak pujuk mak long ke?” soal Nur Ibtisam inginkan kepastian.

“Dah puas abah dan umi pujuk. Tapi, mak long kamu tu buat tak endah je. Tok pun puas merayu kat mak long. Tapi, tu lah. Mak  long kamu terlalu keras hati. Bila dia dah nekad, susah dah nak pujuk.” Cermin mata sudah ditanggalkan. Diletakkan di atas meja. En. Shafie mengeluh perlahan. Cara bagaimana lagi dia harus ambil untuk memujuk kakaknya itu.

“Sabarlah bah. InsyaAllah, mak long pasti balik ke sini lagi. Kak Long janji akan pujuk mak long. Doakan kak long yer bah.” Ibtisam memberikan senyuman kepada abahnya. Menyalurkan sedikit semangat buat abahnya. Dia juga nekad untuk kembalikan mak long dalam keluarga mereka semula. Itu janjinya!

En. Shafie sekadar mengangguk. Membalas senyuman anak sulungnya itu. Harapannya juga semoga Nur Ibtisam berhasil memujuk kakaknya. Akan dititipkan doa buat anaknya itu.


*********************

Tangga bas transnasional dituruni Nur Ibtisam perlahan. Matanya sempat memandang kiri dan kanan mencari seseorang. Beg kampungnya yang sederhana besar itu dipegangnya erat. Sempat lagi dia membetulkan urat-urat sendi yang terasa sudah mengeras akibat terlalu lama duduk di dalam bas.

‘Kriukk. Kriukk’.

Meletup urat pinggangnya itu. Matanya sekali lagi meliar sekitar terminal bas mencari mak longnya. Dalam keasyikan dia mencari, matanya tepat terpandang sesusuk tubuh yang sangat dikenalinya itu. Serta merta terukir segaris senyuman di wajahnya. Langkahnya diatur laju ke arah itu.

“Mak Long, gembiranya Nur jumpa mak long.” Terus dipeluk tubuh mak longnya itu. Tak menyempat betul Ibtisam ni.

“Uhuk, uhuk! Sesak nafas mak long ni Nur. Nur nak bagi mak long ‘jalan’ awal ke?” tubuh kecik Nur Ibtisam itu direnggangkan. Kalau dibiarkan mahunya dia mati kelemasan. Tengok aja si Nur Ibtisam ni kecik, tapi pelukannya itu bukan main kejap.

“Alah, mak long ni. Bukannya Nur peluk kuat sangat pun.” Dia sudah tersengih. Hanya dengan tok dan mak longnya sahaja dibahasakan sebagai ‘Nur’. Sejak kecil sudah dibiasakan begitu. Penah juga ditanyakan kepada toknya tentang panggilan namanya itu. Kenapa dipanggil ‘Nur’ bukannya ‘Ibtisam’ seperti orang orang lain. Jawab toknya dengan longat kedah, “berbelit lidah tok nak menyebut nama kamu yang satu lagi tu. Satgi tak pasai-pasai tok tersilap panggil pekasam kot. Panggil ‘Nur’ aja. Mudah.”

“Hah! Kamu dah makan?” soal mak long.

“Belum la mak long. Lapar ni.” Perutnya diusap-usap. Konon lapar sangat la tu. Muka kasihan sengaja ditunjukkan memancing simpati.

“Huh, tak payah nak buat muka sekupang kamu tu. Jom la balik. Mak long dah masak special untuk Nur.”

“Ni yang buat Nur lagi sayang dengan mak long. You’re the best la mak long.” Bodek Nur Ibtisam.  Mereka berdua sudah berjalan menuju ke kereta yang diparking tidak jauh daripada terminal bas. Sebelah tangan mak long dipeluk Nur Ibtisam. Manja sekali gelagatnya itu.

 *********************

“Kenapa tak tidur lagi ni Nur? Esok kan nak bangun awal.”  Soal mak long. Sengaja dijenguk ke bilik Nur Ibtisam bila dilihatnya lampu bilik masih terpasang.

“Belum mengantuk lagi la mak long.” Novel di tangan diletakkan di atas katil. Kepalanya dihadapkan ke arah pintu memandang mak long.

“Jangan tidur lewat sangat tau. Esok kamu ada temuduga. Jangan lupa pulak.” Pesan mak long.

“InsyaAllah mak long. Nur janji tak tidur lewat.”

“Baiklah kalau macam tu. Mak long masuk tidur dulu yer. Selamat malam.”

“Selamat malam mak long. Assalamualaikum.”

“Waalaikumussalam.” Daun pintu ditutup perlahan. Nur Ibtisam menyambung pembacaannya.  Novel itu sebenarnya sudah dibelinya 2 hari lepas. Namun, masih belum dibaca. Disebabkan dia akan bertolak ke Shah Alam dibawa novel itu bersamanya. Bukan apa boring di dalam bas. Padahal dia tidur saja sepanjang perjalanan. Novel ke mana. Dia ke mana.  Ibtisam! Ibtisam!

Undang-undang Cinta 1

Sunday, February 12, 2012 | Comment
[Kredit]


3 Tahun Kemudian…

“Irfan! Kak Long mana? Dari tadi umi cari. Tak jumpa-jumpa.” Soal Puan Izzah kepada anak bongsunya itu. 
“Kak Long yer umi? Tu, kat atas pokok tu. Bukan ke Kak Long tu umi?” Irfan tersengih-sengih sambil menunjukkan ke arah kakaknya itu. ‘Sudah pasti kakaknya itu akan dimarahi oleh umi mereka.’ Manakala Nur Ibtisam masih khusyuk memetik buah rambutan. Bukan itu sahaja, Nur Ibtisam dengan selambanya membaling kulit-kulit rambutan. Kakinya yang terjuntai ke bawah digoyang-goyangkan. ‘Amboi! Bukan main lagi kau yer Ibtisam.’

‘Paap!’ Salah satu daripada kulit rambutan yang dibaling Nur Ibtisam terkena uminya. Puan Izzah sudah merenung tajam ke arah  anak sulungnya itu. ‘Memang nak kena juga budak ni sorang’. Bisik hati Puan Izzah.
“Nur Ibtisam!” Panggil Puan Izzah sambil mencekak pinggang. Sebelah tangannya mencapai sebatang kayu. Irfan masih setia di sisi ibunya. Tersengih-sengih memandang ke atas.

‘Alamak! Umi. Habislah aku kali ni. Si Irfan ni pun satu, bukannya nak bagi warning awal-awal. Hisy! Nanti la kau.’ Omelnya. Tangannya sudah berhenti memetik buah-buah rambutan yang ada. Dia hanya tersengih memandang uminya itu.

“Yang tersengih-sengih kat atas tu lagi buat apa? Turun sekarang! Kalau tak, umi sebat kamu karang. Turun!” Dadanya berombak kencang menahan marah. Macam mana la dia tak marah. Kalau si Nur Ibtisam tu budak umur 7 tahun tak apa la jugak. Ini dah masuk 27 tahun pun masih berperangai macam budak-budak. Tengok saja luaran macam lembut tetapi hakikatnya kasar!

“Yelah, Yelah! Kak Long nak turun la ni. Umi janganlah sebat kak long.” Cepat-cepat Nur Ibtisam turun dari pokok rambutan. Takut juga dia bila uminya itu marah. Memang berbirat la tubuhnya itu kalau disebat umi.
“Kak long, best tak makan rambutan atas pokok tu? Hehe!” Irfan sengaja memerli kakaknya. Nur Ibtisam hanya mampu menjeling. Takut untuk bersuara. Uminya sudah memandang tepat ke arah anak perempuannya itu. Manakala Nur Ibtisam hanya menunduk memandang tanah. Kakinya menguis-nguis dedaun yang bertebaran.

“Berapa kali umi beritahu, jangan panjat pokok rambutan tu. Kalau nak makan ambik ja galah.” Bebel Puan Izzah.
“Kak long dah cari galah tadi umi. Tapi tak jumpa. Sebab tu la kak long panjat ja pokok ni.” Nur Ibtisam memberi alasan. ‘Moga-moga hati ibunya sejuk.’

“Eh, kak long ni. Kat reban ayam tu kan ada galah. Kenapa kak long tak ambik?” Irfan menyoal. Niatnya cuma satu. Teringin melihat kakaknya itu dimarahi umi. Maklumlah, kak long kan anak kesayangan umi. Tambahan pula, kak long satu-satunya anak perempuan dalam keluarga. Sudah tentu umi lebih menyayangi kakaknya itu berbanding dia dan abangnya.

‘Memang aku pelangkung jugak budak tak cukup umur ni. Sengaja nak tambah kemarahan umi la tu.’ Matanya sudah dijegil ke arah Irfan. Namun, adiknya itu buat-buat tak tahu sahaja. Sakit hati betul Nur Ibtisam lihat.

“Tadi kak long cari tak jumpa pun. Bila masa pula galah tu ada kat situ”. Nur Ibtisam masih cuba membela diri. Pelik juga dia. Macam mana galah tu boleh ada kat situ. Memang tadi sudah dicari galah di situ, tetapi tidak ada. ‘Ini mesti kerja si Irfan.’ Nur Ibtisam mengagak.

“Sudah, sudah! Ni last warning dari umi. Lepas ni, kalau umi nampak kak long kat atas pokok tu lagi umi sebat kak long betul-betul. Faham! Puan Izzah memberi amaran.  Entah kan berkesan ke tidak amarannya itu. Sudah berbuih mulutnya memberi amaran tetapi tidak diendahkan Nur Ibtisam. 

Nur Ibtisam menarik nafas lega. Manakala, adiknya, Irfan mencebik tidak berpuas hati. Baru sahaja dia berangan-angan untuk melihat kak long dimarahi umi. Namun, angan tinggal angan sahaja. Kakinya sudah melangkah masuk ke dalam rumah. Lidah dijelir ke arah kakaknya itu. Sempat juga Nur Ibtisam membalas tak mahu mengaku kalah. 

“Jom ke sana. Umi ada benda nak cakap.” Puan Izzah bersuara. Kakinya sudah melangkah ke arah pangkin di bawah pokok rambutan itu. Nur Ibtisam hanya mengekori ibunya dari belakang. Seusai duduk, Puan Izzah kembali bersuara, “ Tadi, Mak Long call, dia cakap ada jawatan kosong kat tempat kerjanya tu. Kak long tak nak cuba ke?”

“Malas la umi. Kak long kan dah ada kerja. Buat apa kak long nak cari kerja lain pula?” Hujung tudungnya dimain-mainkan. Bukan dia tak teringin nak cari keja lain, tetapi dia takut kalau-kalau dia akan berjumpa kembali dengan ‘si dia’.

“Memang la kamu dah kerja, tapi di luar bidang kamu tu. Dulu kamu jugak yang beria-ria nak jadi peguam. Umi suruh jadi cikgu tak nak. Habis sekarang ni kamu nak jadi cikgu pula. Tak faham la umi!”
“Memang la cita-cita kak long nak jadi peguam umi. Tapi, bila dah mengajar ni, kak long rasa seronok pulak. Sayang la nak tinggal anak-anak murid kak long tu semua.” Nur Ibtisam berharap uminya itu akan memahami kehendak hatinya itu. Dia masih belum cukup kuat untuk berhadapan dengan ‘si dia’. Kemungkinan itu pasti ada jika dia benar-benar kembali menceburi bidang guamannya itu.

“Umi tak kira. Umi nak esok kak long pergi temuduga tu juga. Kalau tak, umi tak nak cakap dengan kak long sampai bila-bila.” Ugut Puan Izzah. Hanya dengan cara ini saja anaknya itu akan menurut kata-katanya.
“Ermm, tak boleh tolak ke umi?” Nur Ibtisam masih cuba bermain tarik tali dengan uminya. Manalah tahu uminya itu akan berubah fikiran. Mimik mukanya sudah berubah. Memohon simpati uminya. Namun, Puan Izzah masih tetap berkeras.

“Tak boleh. Kak long kena pergi juga. Muktamad. Full stop!”
“Baiklah umi. Kak long ikut cakap umi.” Nur Ibtisam akhirnya mengalah. Mana mungkin dia membantah cakap umi kesayangannya itu.
“Bagus. Macam tu la anak umi. Malam karang umi bagi alamatnya ya.” Puan Izzah sudah tersenyum. Berjaya juga dia memujuk anaknya. Dia sudah bangun dari tempat duduk. Kakinya melangkah masuk ke dalam rumah. Dia yakin anaknya itu pasti akan berjaya dalam sesi temuduga esok.

Nur Ibtisam hanya memandang sepi langkahan uminya. Masih tidak berganjak dari situ. Dia mengeluh buat sekian kalinya. ‘Harap-harap aku tak berjumpa dengan dia.’ Bisik hatinya. 

*****************************************************
“Maaf. Saya tak sengaja.” Nur Ibtisam memohom maaf.
“It’s okay. Saya pun salah juga. Jalan tak tengok orang.” Jawab si pemuda.

Nur Ibtisam tunduk mengutip buku-buku yang bertaburan. Sudah la dia terlambat ke kelas. Terlanggar orang pulak. Nampaknya permulaan harinya tidaklah begitu baik. ‘Hurm’. Dia mengeluh.

Si pemuda tadi yang turut mengutip buku-bukunya yng turut terjatuh akibat perlanggaran itu. Dalam masa yang sama dia memandang Nur Ibtisam pelik. Tiba-tiba saja telinganya menangkap keluhan daripada Nur Ibtisam. “Kenapa?” soalnya.

“Hah? Apa yang kenapa?” Nur Ibtisam pula yang kepelikan. ‘Apasal mamat ni. Tiba-tiba tanya kenapa.’
“Kenapa awak mengeluh?”

‘Uik? Dia dengar aku mengeluh ke? Kuat sangat ke aku mengeluh. Malunya.’
“Kenapa diam pulak ni? Susah sangat ke soalan saya tu.” Masing-masing sudah berdiri. Si pemuda mengadap memandang Nur Ibtisam yang masih berdiam itu.

‘Banyak tanya pulak mamat ni.’ Detik hatinya lagi.
“Tak ada apa-apalah. Ermm, saya gerak dulu ya. Maaf sekali lagi. Assalamualaikum.” Nur Ibtisam bergerak pergi meninggalkan si pemuda. Tak ada masa nak beramah mesra. Bukannya dia kenal pun. Lagi pulak dia dah terlambat ke kelas hampir 15 minit.

Manakala si pemuda terus memandang Nur Ibtisam berlalu pergi sampailah kelibat Nur Ibtisam sudah tidak kelihatan. Entah kenapa hatinya tiba-tiba terasa tertarik. Something like ‘kuch kuch hota hai’. Hehe!

Undang-undang Cinta (Prolog)

Sunday, February 12, 2012 | Comment
[Kredit]

Hari demi hari. Tahun berganti tahun. Kehidupan Nur Ibtisam begitu ceria tanpa gusar. Senyuman sentiasa meniti bibirnya. Tak penah senyumannya lekang dari wajah walau sesaat bagi sesiapa yang mengenali diri Nur Ibtisam.  Sesuailah dengan nama yang disandangnya selama ini. Nur Ibtisam (Cahaya Senyuman).

Nur Ibtisam seorang gadis yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan. Ayahnya seorang guru agama di sebuah pondok manakala ibunya suri rumah sepenuh masa. Hidupnya dikelilingi oleh 3 orang adik lelaki. Walaupun begitu, dia tidak pernah merasakan kesunyian tanpa saudara perempuan yang lain. Kerana bagi Nur Ibtisam, cukuplah ibunya sentiasa ada di sisi.

Kini, Nur Ibtisam diterima masuk ke Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam bagi jurusan undang-undang. Memang inilah cita-citanya sejak kecil. Walaupun ada yang mengatakan bahawa menjadi seorang peguam seolah-olah sebelah kaki ke Neraka, namun bagi Nur Ibtisam Allah pasti ada bersamanya dalam menegakkan keadilan.

Kehidupannya di university banyak ranjau. Ada susah di sebalik kesenangan. Ada duka di sebalik kegembiraan. Tetapi, semua itu dihadapi dengan tabah tanpa gentar.  Prinsip dan keyakinan bahawa Allah sentiasa berada bersamanya tak kira susah ataupun senang, itulah yang menjadi kekuatannya  selama ini. Dorangan daripada keluarga dan kawan-kawan menguatkan lagi azam Nur Ibtisam dalam mengecapi impiannya itu.

Namun, seperti firman Allah dalam surah Al-‘Ankabut ayat 2 yang bermaksud, “Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: Kami beriman, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?” Begitulah Allah datangkan satu ujian buat Nur Ibtisam saat hatinya masih bebas daripada sebarang perasaan cinta seorang pemuda. Cinta yang tiba-tiba datang mula mengusik jiwa Nur Ibtisam.

Perkenalan Nur Ibtisam dengan seorang pemuda di university benar-benar membuatkan hatinya gusar. Masakan hati Nur Ibtisam akan berasa senang jikalau perasaan yang tak pernah wujud kini telah tersemat kemas di dalam hatinya. Cinta pemuda itu tidak pernah ditolak mahupun diterima. Dia hanya membiarkan kata-kata cinta si pemuda berlalu dibawa angin begitu sahaja. Bukan kerana bongkak atau sombong, tetapi Nur Ibtisam berasa ragu dengan si pemuda.

Adakah cintanya benar-benar tulus ataupun sekadar gurauan? Itulah yang seringkali bermain di minda Nur Ibtisam. Jika benar cinta si pemuda, apa yang patut diucapkan Nur Ibtisam sedangkan si pemuda tidak pernah menanyakan soal hati kepadanya. Hanya sekadar meluahkan rasa hatinya tanpa memperdulikan perasaan Nur Ibtisam terhadapnya.   Andai diterima cinta si pemuda, apakah cinta yang dihulurkan akan membuatnya lebih dekat dengan Allah ataupun akan menyebabkan dia terus tenggelam dengan rasa cinta? Persoalan demi persoalan bermain di fikiran. Namun, tiada satu pun jawapan yang diperolehnya.

Bulan berganti bulan. Semester berganti semester. Kini, Nur Ibtisam di semester ke-5. Perhubungan Nur Ibtisam dengan si pemuda atas dasar kawan semakin hari semakin renggang. Mereka tidak lagi seperti dahulu yang sering kali berkongsi pendapat dan masalah. Masing-masing sepi menjanlankan kehidupan seharian tanpa ada sebarang sengkata. Seolah-olah tidak pernah terjalin  perhubungan antara mereka walaupun atas nama ‘kawan’.

Pada mulanya, Nur Ibtisam bersyukur dengan perubahan yang terjadi. Bukan apa, sekurang-kurangnya dia boleh terhindar daripada sebarang dosa dan noda. Dia sendiri tidak pasti apakah hukum yang jatuh ke atasnya dirinya apabila dia sering kali berhubung dengan si pemuda. Walaupun begitu, hati Nur Ibtisam tidak seiring dengan akalnya. Hatinya kini seolah-olah meronta untuk kembali kepada kehidupan yang dulu. Kehidupan di mana dia dan si pemuda terus berkongsi apa sahaja masalah dan pendapat.

Semakin hari semakin dalam perasaan sayang Nur Ibtisam kepada si pemuda. Rindu mula bertandang. Dia tahu, kini dia telah terjebak dalam cinta. Ya CINTA! Tidak pernah Nur Ibtisam merasakan perasaan seperti ini. Namun apakan daya, si pemuda telah pergi meninggalkan dia. Nur Ibtisam hanya mampu memandang dari jauh. Tak mampu rasanya untuk meluahkan apa yang terpendam di hati kerana Nur Ibtisam takut. Bukan takut cintanya ditolak tetapi takut seandainya perasaan yang diluahkan akan melalaikan mereka dari jalan Allah. Takut seandainya perhubungannya nanti tidak akan diredhai Allah.

Lalu, apa yang harus dilakukan Nur Ibtisam. Apakah cara yang boleh dilakukannya untuk mengembalikan hati Nur Ibtisam yang dulu. Yang bebas daripada perasaan cinta si pemuda. Senyumannya kini juga tak seperti dulu. Penuh dengan kepura-puraan. Entah mengapa pilu rasanya hati Nur Ibtisam megenangkan si pemuda. “Maafkan saya kerana tak dapat berterus-terang.” Luahnya sendirian.

Namun, prinsip dan keyakinannya terhadap Allah masih lagi kuat. Dia yakin bahawa Allah pasti merencanakan sesuatu yang baik untuk dirinya. Nur Ibtisam juga yakin bahawa seandainya si pemuda itu adalah jodohnya, maka Allah akan menyatukan mereka juga kelak. Dan seandainya si pemuda itu bukanlah jodoh yang terbaik untuknya, nescaya Allah akan menggantikan dengan yang lebih baik.

Apa yang perlu dilakukan oleh Nur Ibtisam pada saat ini adalah terus berusaha meningkatkan imam di dada dan menjadi wanita solehah untuk lelaki yang soleh. Itu yang pasti.  Seperti mana firman Allah dalam surah An-Nur ayat 26 yang bermaksud, “Perempuan-perempuan yang baik adalah untuk lelaki-lelaki yang baik, dan lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik.” 

Walau bagaimanapun, Nur Ibtisam hanyalah seorang manusia biasa. Kadang-kala dia turut lemah dengan mainan perasaan. Tak mungkin begitu mudah untuk dia melupakan si pemuda. Pemuda yang satu-satunya berjaya mencuri sekeping hati milik Nur Ibtisam. Dalam diam, Nur Ibtisam  juga berharap agar si pemuda dapat merasakan perasaannya ini walaupun tanpa perlu diluahkan. Apakah si pemuda akan dapat merasainya? Apakah si pemuda akan memahami isi hatinya kini? Tak dapat Nur Ibtisam menjawabnya. Dia hanya mampu berserah. Berserah kepada Allah. Sujudnya siang dan malam memohon keampunan dan pertolongan daripada Allah. Memohon kekuatan dalam menghapi ujian ini.

*****************************************************
Muhammad Harith b. Muhammad Haidar. Nama yang cukup terkenal dalam kalangan mahasiswa Jurusan Undang-undang di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam. Anak kepada peguam terkenal di seluruh Malaysia kerana berjaya menyelesaikan kes-kes yang cukup besar. Anak sulung daripada 6 adik beradik. Anak jati Shah Alam, Selangor. Harith terkenal bukan kerana pengaruh bapanya, tetapi kerana bakat yang ada dalam diri sebagai bakal peguam yang berjaya. Merupakan tokoh mahasiswa di UiTM Shah Alam kerana pencapaian akademiknya. Lantang bersuara memberikan pendapat dan berhujah. Kebijaksanaannya seolah-olah tidak dapat ditandingi. Juga merupakan idola pelajar wanita. Masakan tidak, dengan kebijaksanaan yang ada plus rupa paras yang elok memang memikat hati.

Walaupun begitu, Harith seakan-akan sudah lali dengan semua itu. Datanglah apa jua godaan dan ujian, pasti ditempuhnya dengan mudah. Bagi Harith tidak ada istilah ‘give up’ dalam hidupnya. Percintaannya yang berakhir dengan kekecewaan juga dihadapi tanpa ada rasa sedih. Namun, perkenalan yang tidak disengajakan dengan seorang perempuan benar-benar mencipta satu epilog cinta baru dalam hidupnya.

Seorang perempuan biasa yang tak begitu cantik pada pandangan matanya  tetapi tetap mempunyai daya tarikannya sendiri. Tingkah laku si gadis yang sentiasa ceria tanpa masalah turut menceriakan kehidupan sehariannya. Si gadis banyak memberikan kata-kata nasihat, pandangan dan berkongsi setiap masalah yang dihadapinya tanpa mengharapkan balasan. Tanpa disedari, satu perasaan yang cukup indah dirasakan setiap kali dia berhubung dengan si gadis. NUR IBTISAM. Itulah nama yang kini mula mengambil tempat di dalam hatinya.

Dengan keberanian yang ada, Harith akhirnya meluahkan rasa hatinya itu kepada Nur Ibtisam. Tidak pernah sekalipun dia bertanya kepada Nur Ibtisam apa perasaan Nur Ibtisam terhadapnya. Hari berganti hari, bulan berganti bulan, perhubungannya dengan Nur Ibtisam tetap seperti biasa. Namun, tak jemu untuk dia menunjukkan rasa kasihnya buat Nur Ibtisam. Cuma satu harapannya, agar Nur Ibtisam memberikan respon terhadap luahan hatinya itu. Biar apa yang dirasakannya menjadi kenyataan.

Harapan tinggal harapan. Yang ada kini cuma angan-angan kosong. Nur Ibtisam sedikit pun tidak ambil peduli akan perasaannya. Respon yang diberikan setiap kali mereka berhubung seolah-olah negative. Kadang-kala dirasakan Nur Ibtisam sengaja ingin menjauhkan diri daripadanya. Lalu, Harith nekad dengan keputusannya. Biarlah dia saja yang mengundur diri. Harith lupa akan satu perkara yang selama ini perkataan ‘give up’ tak pernah ada dalam sejarah hidupnya. Tetapi, kini dia pasrah dengan ketentuan takdir. Biarlah dia give up untuk kali ini. Tak perlu rasanya dia terus berharap andai tiada ruang di hati Nur Ibtisam untuk dia bertapak. “Saya akan lupakan awak buat selama-lamanya.” Hatinya bertekad.

Masa terus berlalu. Harith kini semakin menjauhkan diri daripada Nur Ibtisam. Tiada lagi teguran seperti dulu. Tiada lagi perkongsian masalah dan pendapat. Dia kini meneruskan kehidupannya tanpa Nur Ibtisam.  Dia masih lagi Muhammad Harith yang dulu. Masih bijak dan terkenal walaupun tanpa Nur Ibtisam. Dia sedar, dia bukanlah yang terbaik untuk gadis seperti Nur Ibtisam. Siapalah dia dalam hati Nur Ibtisam, cuma sekadar kawan berbicara. Bukan seperti dia yang menganggap Nur Ibtisam lebih daripada itu.  Dia redho.

Namun, tanpa disedari dia sebenarnya tersilap membuat kesimpulan. Tersilap membuat perkiraan. Tetapi apakan daya, perancangan Allah tiada siapa yang tahu. Allah lebih mengetahui apa yang terbaik untuk hamba-hambaNya. Manusia hanya mampu merancang, tetapi Allah yang menentukannya.