[Kredit] |
“Dah siap berkemas kak long?” Encik Shafie menyoal. Matanya langsung tidak dikalih daripada menonton berita. Cuma mulutnya sahaja berkata-kata.
“Dah abah.” Jawab Nur Ibtisam ringkas.
Besok sesudah subuh dia akan bertolak ke Shah Alam untuk menghadiri temuduga. Selepas makan malam tadi, uminya sudah menyerahkan alamat rumah mak longnya itu. Mak longnya pun sudah dikhabarkan berita kedatangannya itu ke sana.
“Sempat ke nak hadiri temuduga tu kak long? Umi beritahu abah tadi temuduga esok. Padahal esok pagi baru kamu nak bertolak ke sana.”
“Temuduga tu dibuat selama 2 hari abah. Yang untuk esoknya tu memang tak sempat la. Tapi, untuk yang lusanya InsyaAllah kak long pergi.” Jelas Nur Ibtisam. Memang patut pun abahnya bertanya soalan sedemikian. Mereka kini menetap di di Kedah bukannya lagi di Kelantan. Kedah dengan Shah Alam pun bukannya dekat. Memakan masa hampir 4 jam juga.
Sejak 3 tahun yang lepas mereka sekeluarga berpindah dari Kelantan ke Kedah. Ke Kampung halaman abah selepas kematian datuk sebelah uminya. Memandangkan umi sudah tidak ada saudara mara yang lain, abahnya mengajak mereka sekeluarga berpindah. Lagipun tok (nenek) sebelah abahnya itu masih hidup. Maka, menetaplah mereka di sini sehingga ke hari ini.
“Dah bagitau mak long ke kamu nak ke sana?” soal abahnya lagi.
“Dah abah. Tadi umi dah telefon mak long bagitau. Mak long bukan main seronok lagi.” Jelas Nur Ibtisam.
“Mak long kamu tu memang teringin sangat nak jumpa dengan kamu. Memang patut la dia rasa seronok. Nak pula kamu ada teman dia kat sana. Bertambah-tambah seronok la dia.” En.Shafie memandang Ibtisam di sebelah. Tersenyum.
“Yelah bah, mak long pun dah lama sangat tak balik jenguk kita kan?” Muka abahnya dipandang. Berita sukan tidak dihiraukan. Malas nak ambil tahu. Dia bukannya minat sangat pun dengan aktiviti sukan ni.
“Mak long kamu tu terlalu kecewa dengan orang kampung ni. Sebab tu la sampai ke hari ni dia taknak balik ke sini lagi. Tok kamu tu dah rindu sangat kat dia.” Terpancar riak sedih pada wajah En. Shafie. Peristiwa yang berlaku berpuluh tahun dahulu masih segar dalam ingatan.
“Abah tak pujuk mak long ke?” soal Nur Ibtisam inginkan kepastian.
“Dah puas abah dan umi pujuk. Tapi, mak long kamu tu buat tak endah je. Tok pun puas merayu kat mak long. Tapi, tu lah. Mak long kamu terlalu keras hati. Bila dia dah nekad, susah dah nak pujuk.” Cermin mata sudah ditanggalkan. Diletakkan di atas meja. En. Shafie mengeluh perlahan. Cara bagaimana lagi dia harus ambil untuk memujuk kakaknya itu.
“Sabarlah bah. InsyaAllah, mak long pasti balik ke sini lagi. Kak Long janji akan pujuk mak long. Doakan kak long yer bah.” Ibtisam memberikan senyuman kepada abahnya. Menyalurkan sedikit semangat buat abahnya. Dia juga nekad untuk kembalikan mak long dalam keluarga mereka semula. Itu janjinya!
En. Shafie sekadar mengangguk. Membalas senyuman anak sulungnya itu. Harapannya juga semoga Nur Ibtisam berhasil memujuk kakaknya. Akan dititipkan doa buat anaknya itu.
*********************
Tangga bas transnasional dituruni Nur Ibtisam perlahan. Matanya sempat memandang kiri dan kanan mencari seseorang. Beg kampungnya yang sederhana besar itu dipegangnya erat. Sempat lagi dia membetulkan urat-urat sendi yang terasa sudah mengeras akibat terlalu lama duduk di dalam bas.
‘Kriukk. Kriukk’.
Meletup urat pinggangnya itu. Matanya sekali lagi meliar sekitar terminal bas mencari mak longnya. Dalam keasyikan dia mencari, matanya tepat terpandang sesusuk tubuh yang sangat dikenalinya itu. Serta merta terukir segaris senyuman di wajahnya. Langkahnya diatur laju ke arah itu.
“Mak Long, gembiranya Nur jumpa mak long.” Terus dipeluk tubuh mak longnya itu. Tak menyempat betul Ibtisam ni.
“Uhuk, uhuk! Sesak nafas mak long ni Nur. Nur nak bagi mak long ‘jalan’ awal ke?” tubuh kecik Nur Ibtisam itu direnggangkan. Kalau dibiarkan mahunya dia mati kelemasan. Tengok aja si Nur Ibtisam ni kecik, tapi pelukannya itu bukan main kejap.
“Alah, mak long ni. Bukannya Nur peluk kuat sangat pun.” Dia sudah tersengih. Hanya dengan tok dan mak longnya sahaja dibahasakan sebagai ‘Nur’. Sejak kecil sudah dibiasakan begitu. Penah juga ditanyakan kepada toknya tentang panggilan namanya itu. Kenapa dipanggil ‘Nur’ bukannya ‘Ibtisam’ seperti orang orang lain. Jawab toknya dengan longat kedah, “berbelit lidah tok nak menyebut nama kamu yang satu lagi tu. Satgi tak pasai-pasai tok tersilap panggil pekasam kot. Panggil ‘Nur’ aja. Mudah.”
“Hah! Kamu dah makan?” soal mak long.
“Belum la mak long. Lapar ni.” Perutnya diusap-usap. Konon lapar sangat la tu. Muka kasihan sengaja ditunjukkan memancing simpati.
“Huh, tak payah nak buat muka sekupang kamu tu. Jom la balik. Mak long dah masak special untuk Nur.”
“Ni yang buat Nur lagi sayang dengan mak long. You’re the best la mak long.” Bodek Nur Ibtisam. Mereka berdua sudah berjalan menuju ke kereta yang diparking tidak jauh daripada terminal bas. Sebelah tangan mak long dipeluk Nur Ibtisam. Manja sekali gelagatnya itu.
“Kenapa tak tidur lagi ni Nur? Esok kan nak bangun awal.” Soal mak long. Sengaja dijenguk ke bilik Nur Ibtisam bila dilihatnya lampu bilik masih terpasang.
“Belum mengantuk lagi la mak long.” Novel di tangan diletakkan di atas katil. Kepalanya dihadapkan ke arah pintu memandang mak long.
“Jangan tidur lewat sangat tau. Esok kamu ada temuduga. Jangan lupa pulak.” Pesan mak long.
“InsyaAllah mak long. Nur janji tak tidur lewat.”
“Baiklah kalau macam tu. Mak long masuk tidur dulu yer. Selamat malam.”
“Selamat malam mak long. Assalamualaikum.”
“Waalaikumussalam.” Daun pintu ditutup perlahan. Nur Ibtisam menyambung pembacaannya. Novel itu sebenarnya sudah dibelinya 2 hari lepas. Namun, masih belum dibaca. Disebabkan dia akan bertolak ke Shah Alam dibawa novel itu bersamanya. Bukan apa boring di dalam bas. Padahal dia tidur saja sepanjang perjalanan. Novel ke mana. Dia ke mana. Ibtisam! Ibtisam!
0 comments:
Post a Comment