Undang-undang Cinta (Prolog)

Sunday, February 12, 2012 | Comment
[Kredit]

Hari demi hari. Tahun berganti tahun. Kehidupan Nur Ibtisam begitu ceria tanpa gusar. Senyuman sentiasa meniti bibirnya. Tak penah senyumannya lekang dari wajah walau sesaat bagi sesiapa yang mengenali diri Nur Ibtisam.  Sesuailah dengan nama yang disandangnya selama ini. Nur Ibtisam (Cahaya Senyuman).

Nur Ibtisam seorang gadis yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan. Ayahnya seorang guru agama di sebuah pondok manakala ibunya suri rumah sepenuh masa. Hidupnya dikelilingi oleh 3 orang adik lelaki. Walaupun begitu, dia tidak pernah merasakan kesunyian tanpa saudara perempuan yang lain. Kerana bagi Nur Ibtisam, cukuplah ibunya sentiasa ada di sisi.

Kini, Nur Ibtisam diterima masuk ke Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam bagi jurusan undang-undang. Memang inilah cita-citanya sejak kecil. Walaupun ada yang mengatakan bahawa menjadi seorang peguam seolah-olah sebelah kaki ke Neraka, namun bagi Nur Ibtisam Allah pasti ada bersamanya dalam menegakkan keadilan.

Kehidupannya di university banyak ranjau. Ada susah di sebalik kesenangan. Ada duka di sebalik kegembiraan. Tetapi, semua itu dihadapi dengan tabah tanpa gentar.  Prinsip dan keyakinan bahawa Allah sentiasa berada bersamanya tak kira susah ataupun senang, itulah yang menjadi kekuatannya  selama ini. Dorangan daripada keluarga dan kawan-kawan menguatkan lagi azam Nur Ibtisam dalam mengecapi impiannya itu.

Namun, seperti firman Allah dalam surah Al-‘Ankabut ayat 2 yang bermaksud, “Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: Kami beriman, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?” Begitulah Allah datangkan satu ujian buat Nur Ibtisam saat hatinya masih bebas daripada sebarang perasaan cinta seorang pemuda. Cinta yang tiba-tiba datang mula mengusik jiwa Nur Ibtisam.

Perkenalan Nur Ibtisam dengan seorang pemuda di university benar-benar membuatkan hatinya gusar. Masakan hati Nur Ibtisam akan berasa senang jikalau perasaan yang tak pernah wujud kini telah tersemat kemas di dalam hatinya. Cinta pemuda itu tidak pernah ditolak mahupun diterima. Dia hanya membiarkan kata-kata cinta si pemuda berlalu dibawa angin begitu sahaja. Bukan kerana bongkak atau sombong, tetapi Nur Ibtisam berasa ragu dengan si pemuda.

Adakah cintanya benar-benar tulus ataupun sekadar gurauan? Itulah yang seringkali bermain di minda Nur Ibtisam. Jika benar cinta si pemuda, apa yang patut diucapkan Nur Ibtisam sedangkan si pemuda tidak pernah menanyakan soal hati kepadanya. Hanya sekadar meluahkan rasa hatinya tanpa memperdulikan perasaan Nur Ibtisam terhadapnya.   Andai diterima cinta si pemuda, apakah cinta yang dihulurkan akan membuatnya lebih dekat dengan Allah ataupun akan menyebabkan dia terus tenggelam dengan rasa cinta? Persoalan demi persoalan bermain di fikiran. Namun, tiada satu pun jawapan yang diperolehnya.

Bulan berganti bulan. Semester berganti semester. Kini, Nur Ibtisam di semester ke-5. Perhubungan Nur Ibtisam dengan si pemuda atas dasar kawan semakin hari semakin renggang. Mereka tidak lagi seperti dahulu yang sering kali berkongsi pendapat dan masalah. Masing-masing sepi menjanlankan kehidupan seharian tanpa ada sebarang sengkata. Seolah-olah tidak pernah terjalin  perhubungan antara mereka walaupun atas nama ‘kawan’.

Pada mulanya, Nur Ibtisam bersyukur dengan perubahan yang terjadi. Bukan apa, sekurang-kurangnya dia boleh terhindar daripada sebarang dosa dan noda. Dia sendiri tidak pasti apakah hukum yang jatuh ke atasnya dirinya apabila dia sering kali berhubung dengan si pemuda. Walaupun begitu, hati Nur Ibtisam tidak seiring dengan akalnya. Hatinya kini seolah-olah meronta untuk kembali kepada kehidupan yang dulu. Kehidupan di mana dia dan si pemuda terus berkongsi apa sahaja masalah dan pendapat.

Semakin hari semakin dalam perasaan sayang Nur Ibtisam kepada si pemuda. Rindu mula bertandang. Dia tahu, kini dia telah terjebak dalam cinta. Ya CINTA! Tidak pernah Nur Ibtisam merasakan perasaan seperti ini. Namun apakan daya, si pemuda telah pergi meninggalkan dia. Nur Ibtisam hanya mampu memandang dari jauh. Tak mampu rasanya untuk meluahkan apa yang terpendam di hati kerana Nur Ibtisam takut. Bukan takut cintanya ditolak tetapi takut seandainya perasaan yang diluahkan akan melalaikan mereka dari jalan Allah. Takut seandainya perhubungannya nanti tidak akan diredhai Allah.

Lalu, apa yang harus dilakukan Nur Ibtisam. Apakah cara yang boleh dilakukannya untuk mengembalikan hati Nur Ibtisam yang dulu. Yang bebas daripada perasaan cinta si pemuda. Senyumannya kini juga tak seperti dulu. Penuh dengan kepura-puraan. Entah mengapa pilu rasanya hati Nur Ibtisam megenangkan si pemuda. “Maafkan saya kerana tak dapat berterus-terang.” Luahnya sendirian.

Namun, prinsip dan keyakinannya terhadap Allah masih lagi kuat. Dia yakin bahawa Allah pasti merencanakan sesuatu yang baik untuk dirinya. Nur Ibtisam juga yakin bahawa seandainya si pemuda itu adalah jodohnya, maka Allah akan menyatukan mereka juga kelak. Dan seandainya si pemuda itu bukanlah jodoh yang terbaik untuknya, nescaya Allah akan menggantikan dengan yang lebih baik.

Apa yang perlu dilakukan oleh Nur Ibtisam pada saat ini adalah terus berusaha meningkatkan imam di dada dan menjadi wanita solehah untuk lelaki yang soleh. Itu yang pasti.  Seperti mana firman Allah dalam surah An-Nur ayat 26 yang bermaksud, “Perempuan-perempuan yang baik adalah untuk lelaki-lelaki yang baik, dan lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik.” 

Walau bagaimanapun, Nur Ibtisam hanyalah seorang manusia biasa. Kadang-kala dia turut lemah dengan mainan perasaan. Tak mungkin begitu mudah untuk dia melupakan si pemuda. Pemuda yang satu-satunya berjaya mencuri sekeping hati milik Nur Ibtisam. Dalam diam, Nur Ibtisam  juga berharap agar si pemuda dapat merasakan perasaannya ini walaupun tanpa perlu diluahkan. Apakah si pemuda akan dapat merasainya? Apakah si pemuda akan memahami isi hatinya kini? Tak dapat Nur Ibtisam menjawabnya. Dia hanya mampu berserah. Berserah kepada Allah. Sujudnya siang dan malam memohon keampunan dan pertolongan daripada Allah. Memohon kekuatan dalam menghapi ujian ini.

*****************************************************
Muhammad Harith b. Muhammad Haidar. Nama yang cukup terkenal dalam kalangan mahasiswa Jurusan Undang-undang di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam. Anak kepada peguam terkenal di seluruh Malaysia kerana berjaya menyelesaikan kes-kes yang cukup besar. Anak sulung daripada 6 adik beradik. Anak jati Shah Alam, Selangor. Harith terkenal bukan kerana pengaruh bapanya, tetapi kerana bakat yang ada dalam diri sebagai bakal peguam yang berjaya. Merupakan tokoh mahasiswa di UiTM Shah Alam kerana pencapaian akademiknya. Lantang bersuara memberikan pendapat dan berhujah. Kebijaksanaannya seolah-olah tidak dapat ditandingi. Juga merupakan idola pelajar wanita. Masakan tidak, dengan kebijaksanaan yang ada plus rupa paras yang elok memang memikat hati.

Walaupun begitu, Harith seakan-akan sudah lali dengan semua itu. Datanglah apa jua godaan dan ujian, pasti ditempuhnya dengan mudah. Bagi Harith tidak ada istilah ‘give up’ dalam hidupnya. Percintaannya yang berakhir dengan kekecewaan juga dihadapi tanpa ada rasa sedih. Namun, perkenalan yang tidak disengajakan dengan seorang perempuan benar-benar mencipta satu epilog cinta baru dalam hidupnya.

Seorang perempuan biasa yang tak begitu cantik pada pandangan matanya  tetapi tetap mempunyai daya tarikannya sendiri. Tingkah laku si gadis yang sentiasa ceria tanpa masalah turut menceriakan kehidupan sehariannya. Si gadis banyak memberikan kata-kata nasihat, pandangan dan berkongsi setiap masalah yang dihadapinya tanpa mengharapkan balasan. Tanpa disedari, satu perasaan yang cukup indah dirasakan setiap kali dia berhubung dengan si gadis. NUR IBTISAM. Itulah nama yang kini mula mengambil tempat di dalam hatinya.

Dengan keberanian yang ada, Harith akhirnya meluahkan rasa hatinya itu kepada Nur Ibtisam. Tidak pernah sekalipun dia bertanya kepada Nur Ibtisam apa perasaan Nur Ibtisam terhadapnya. Hari berganti hari, bulan berganti bulan, perhubungannya dengan Nur Ibtisam tetap seperti biasa. Namun, tak jemu untuk dia menunjukkan rasa kasihnya buat Nur Ibtisam. Cuma satu harapannya, agar Nur Ibtisam memberikan respon terhadap luahan hatinya itu. Biar apa yang dirasakannya menjadi kenyataan.

Harapan tinggal harapan. Yang ada kini cuma angan-angan kosong. Nur Ibtisam sedikit pun tidak ambil peduli akan perasaannya. Respon yang diberikan setiap kali mereka berhubung seolah-olah negative. Kadang-kala dirasakan Nur Ibtisam sengaja ingin menjauhkan diri daripadanya. Lalu, Harith nekad dengan keputusannya. Biarlah dia saja yang mengundur diri. Harith lupa akan satu perkara yang selama ini perkataan ‘give up’ tak pernah ada dalam sejarah hidupnya. Tetapi, kini dia pasrah dengan ketentuan takdir. Biarlah dia give up untuk kali ini. Tak perlu rasanya dia terus berharap andai tiada ruang di hati Nur Ibtisam untuk dia bertapak. “Saya akan lupakan awak buat selama-lamanya.” Hatinya bertekad.

Masa terus berlalu. Harith kini semakin menjauhkan diri daripada Nur Ibtisam. Tiada lagi teguran seperti dulu. Tiada lagi perkongsian masalah dan pendapat. Dia kini meneruskan kehidupannya tanpa Nur Ibtisam.  Dia masih lagi Muhammad Harith yang dulu. Masih bijak dan terkenal walaupun tanpa Nur Ibtisam. Dia sedar, dia bukanlah yang terbaik untuk gadis seperti Nur Ibtisam. Siapalah dia dalam hati Nur Ibtisam, cuma sekadar kawan berbicara. Bukan seperti dia yang menganggap Nur Ibtisam lebih daripada itu.  Dia redho.

Namun, tanpa disedari dia sebenarnya tersilap membuat kesimpulan. Tersilap membuat perkiraan. Tetapi apakan daya, perancangan Allah tiada siapa yang tahu. Allah lebih mengetahui apa yang terbaik untuk hamba-hambaNya. Manusia hanya mampu merancang, tetapi Allah yang menentukannya. 

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...