"Apalah Sangat Bayaran 30 sen tu..."

Friday, March 08, 2013 | Comment
[Kredit]

Berjalan seorang pemuda dengan riak muka yang masam mengalahkan mangga muda. Terkumat-kamit mulutnya berkata sesuatu sambil mengelap tangan dengan tisu. Sampai saja di bangku berdekatan, terus diduduknya dengan riak muka yang sama. Bas express yang keluar masuk dipandangnya sekilas. 

"Kau ni dah kenapa Amir? Masam sangat muka tu?" tegur rakannya, Anas.

"Ah! Tension aku dengan tandas awam. Tak pernah nak bersih. Kotor memanjang. Huh!" Rungut Amir tak puas hati. Tisu di tangan sudah dibuangnya ke lantai. 

"Eh, aku masuk tadi ok ja. Takde la teruk sangat pun."

"Memang la tak teruk. Tapi, masih belum cukup bersih bagi aku. Lantai pun bukannya bersih sangat. Lepas tu ada sesetengah tandas yang tersumbat. Dah la busuk pula tu. Eeii, gelilah!"

"Sebab tu la kita kena jaga kebersihan tandas tu sama-sama. Barulah bersih."

"Asyik kita saja yang nak jaga. Orang lain tak pula. Lagipun, makcik cleaner tu kan ada. Dia buat apa? Dok saja? Tunggu kutip duit. Macam tu?" 

"Ya Allah. Tak baik kau buruk sangka macam tu. Lagipun, bukan sorang dua yang guna tandas tu. Ramai. Takkan la setiap kali ada orang masuk, makcik tu kena pergi cuci. Kita yang gunakan tandas la perlu pastikan ianya bersih. Bukan makcik cleaner tu. Makcik tu sekadar membantu je."  ujar Anas lembut. 

"Habis tu, apa guna kita bayar 30 sen kalau kita pula yang kena cuci?" 

"Siapa cakap kalau kau bayar 30 sen tu, kau tak perlu lagi cuci tandas? Sebenarnya, 30  sen  tu bukanlah persoalannya. Persoalannya di sini, sejauh mana kita jaga kebersihan. Tak kiralah tandas awam ataupun tandas kat rumah sendiri. Lagipun, apalah sangat bayaran 30sen tu jika nak dibandingkan dengan tuntutan kita sebagai seorang Muslim untuk sentiasa menjaga kebersihan."

"So, maksud kau kita orang Islam jer yang perlu jaga kebersihan? Non-muslim tak perlu?" Aahh. Amir. Amir. Selagi masih belum puas hati, ada saja yang menjadi persoalan. 

"Bukan. Maksud aku, kebersihan tu kan sebahagian daripada iman. Kita orang Islam yang mengaku beriman mestilah sentiasa menjaga kebersihan. Mulakan dengan diri sendiri dulu. Barulah nanti tak diibaratkan orang seperti mengata dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih." Tersenyum-senyum Anas di sebelah. 

"Apa kena mengena pantun tu dengan topik kita ni pula?" Tak faham pula dia dengan Anas. 

"Maknanya, kalau kita sendiri pun jenis yang buang sampah merata-rata tempat, jangan pula kita asyik nak salahkan orang jer." Tisu yang dibuang Amir tadi diambil. Diserahkan kembali kepada rakannya itu.  

Tisu kotor yang sudah beralih tangan itu dipandangnya. Lama. Cuba menafsir perkaitannya dengan kata-kata Anas. Tiba-tiba Amir tersentak. Matanya dihala ke muka rakannya itu lalu berkata,

"Anas, aku dah faham maksud kau tu. Maafkan aku. Aku sendiri tak jaga kebersihan, tak sepatutnya aku salahkan orang lain atas sebab yang sama. Aku akan cuba ubah tabiat buruk aku ni." Amir menunduk insaf. 

Anas senyum. Ditepuk-tepuk perlahan bahu Amir. Tak perlu dia berkata apa-apa lagi kerana rakannya itu sudah insaf. Harapannya, semoga semua orang di luar sana juga mempunyai perasaan yang sama. Perasaan untuk menjaga kebersihan. 

"Eh, Amir. Jaga barang aku kejap. Aku nak ke tandas la." Perut yang tiba-tiba memulas dipegangnya. Tanpa menunggu jawapan, terus dia berlari ke arah tandas. Dah tak tahan. Tiba saja di depan tandas, diletakkan not RM1.00 di atas meja dan terus masuk ke dalam tandas dengan tergesa-gesa. Terkelip-kelip makcik cleaner di situ. Selang beberapa minit, Anas keluar. Terus berjalan tanpa menghiraukan sesiapa. Namun, langkahnya terhenti bila ada seseorang menegurnya. 

"Adik, tunggu kejap. Ni duit bakinya. Tak sempat makcik nak pulangkan tadi. Adik nampak kalut sangat." ujar makcik cleaner

"Oh. Takpe lah makcik. Ambil ja baki tu. Saya halalkan. Apalah sangat baki 70 sen tu." balas Anas sambil tersenyum. Makcik cleaner tadi juga turut tersenyum. Dalam hati sudah gembira. Rezeki jangan ditolak, musuh jangan dicari. Kalau semua orang macam ni, kayalah aku. Hehe!

"Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri." - [Al-Baqarah: 222]


0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...