“Assalamualaikum. Ibtisam ohh Ibtisam.” Faisal, posmen di kampung itu memang sudah mengenali Ibtisam. Bahkan seluruh keluarga Ibtisam itu dia kenal. Apa taknya, sejak Nur Ibtisam berpindah ke Kedah dia cuba tackle anak Mak cik Izzah ni. Tapi masalahnya Nur Ibtisam ni hati batu betul. Bermacam-macam cara dah digunakannya, namun tak berjaya. Pernah juga dia memberikan surat cinta kepada Nur Ibtisam dan mendapat balasan yang juga merupakan surat. Seronok bukan kepalang. Namun, yang diterima adalah sebaliknya. Bukan surat cinta, tetapi surat ugutan daripada Encik Shafie, ayah Nur Ibtisam. Semenjak hari itu, dia sudah tidak berani menghantar surat cinta. Karang tak pasal-pasal makan parang. Walau bagaimanapun, dia tidak pernah berhenti berputus asa. Pantang anak Melayu berputus asa. Woha!
“Waalaikumussalam.” Puan Izzah menjawab. Dijenguknya ke luar rumah. Dilihatnya Faisal tersengih-sengih atas motosikal merahnya itu. Kantung beg di kiri dan kanan motor sarat dengan surat-surat yang perlu dihantar.
“Mak cik, ini ada surat untuk Ibtisam.” Sepucuk sampul surat dihulurkan kepada Puan Izzah. Manakala matanya meliar-liar ke dalam rumah. Mencari Nur Ibtisam. Rindu pula rasanya. Gatal sungguh kau ni Faisal. Memang patut kena reject pun.
“Kamu cari apa Faisal?” Puan Izzah menegur.
“Ermm..Ibtisam tak dak kat rumah ke mak cik?” Malu-malu dia bertanya. Hehehe!
“Ada kat dapur, tengah memasak. Kenapa?”
“Saja je tanya. Lama tak nampak.”
“Bukan petang semalam kamu dah nampak dia ke?”
“Eh, ya ka mak cik? Bila tu?” soal Faisal berpura-pura tidak ingat.
“ Petang semalam la. Masa kau datang amek buah nyior kat rumah mak cik ni. Tak ingat.”
“Oh, ya tak ya juga kan. Baru saya ingat.” Pandai sungguh Faisal berlakon. Kenapa kau tak jadi pelakon aje Faisal. Sempat lagi nak mengorat anak dara orang. Teringan nak makan parang gamaknya.
“Tak ingat ke buat-buat tak ingat? Bukan mak cik tak tahu kamu tu selalu sangat dok mengayat Ibtisam tu.” Puan Izzah serkap jarang. Faisal menggaru-garu kepalanya yang tak gatal itu. Aiseh! Kantoi la pulak.
“Tak apa la mak cik. Saya gerak dulu la. Banyak lagi surat yang saya belum hantar ni.”
“A’ah. Elok sangat la tu. Lebih baik kamu siapkan kerja kamu tu daripada dok mengorat anak dara orang. Baru la berkat kerja kamu tu.”
“Baiklah mak cik. Saya pergi dulu. Assalamualaikum.” Laju saja motor si Faisal meluncur. Tak sanggup lagi berlama-lama di situ. Karang free aje dengar ceramah. Huhu! Puan Izzah sekadar menjawab salam di dalam hatinya sambil tersengih. ‘Cuak la tu.’
“Surat siapa tu umi?” Soal Nur Ibtisam dari arah dapur.
“Surat kak long la.” ringkas Puan Izzah menjawab. Surat diletakkan di atas meja makan. Pisau diambil dan kembali sambung memotong sayur lobak untuk dibuat sup sayur. Nur Ibtisam yang baru sahaja selesai menggoreng ayam berempah melangkah ke meja makan. Sebelah tangannya memegang pinggan. Diletaknya ayam berempah itu di atas meja. Kemudian, surat diambil dan dibaca.
“Surat daripada siapa tu kak long?”
“Daripada Siddiq & Co. umi. Kak Long diterima bekerja kat situ.” Matanya tidak berkelip. Tidak percaya yang dia diterima bekerja di situ. Padahal jawatan yang ditawarkan adalah bukan daripada bidangnya. Malahan dia langsung tidak tahu-menahu skop jawatan sebagai seorang PA.
“Alhamdulillah.” Puan Izzah menadah tangan memanjat kesyukuran. Doanya siang dan malam akhirnya termakbul. Syukur ya Allah.
“Bila mula kerjanya kak long?” soal uminya lagi.
“Isnin minggu depan.”
****************************************************
“Hurm...”
Ibtisam mengeluh panjang. Semenjak terima surat tengah hari tadi, dia asyik mengeluh. Entah kenapa hatinya rasa gelisah. Dia mengiring ke kanan. Sampul surat yang berwarna putih di atas meja solek dipandang sekilas. Lagi 4 hari dia akan memulakan tugas barunya di Shah Alam. Agak lama dia meninggalkan Shah Alam sejak menamatkan ijazahnya di UiTM. Selepas ini, dia terpaksa kembali ke sana semula. Apakah dia sudah cukup bersedia untuk menjejakkan kaki ke sana? Dia sendiri pun tak pasti. Bukan kerana jawatan yang bakal disandangnya nanti tetapi kerana hal yang satu itu. Hal yang sukar untuk dilupakan. Dia sendiri hairan kenapa payah sangat untuk dia melenyapkan sebaris nama itu daripada ingatan. Padahal dia bukanlah gadis yang suka ambil serius tentang suatu perkara yang tidak menjadi keutamaannya. Tambahan pula perkara yang berkaitan dengan lelaki. Lagilah mudah dia lupuskan daripada fikirannya. Hanya semudah ABC. Namun, apabila ianya berkaitan dengan lelaki itu, hatinya serba tak kena. Walaupun sudah tiga tahun lebih dia tidak bersua muka mahupun berhubung dengan si dia, hati dan perasaanya tetap sama. Tak ada yang berubah. Hatinya pasti berdegup kencang tatkala terfikirkannya.
“Ya Allah, kuatkanlah hati hambaMu ini. Peliharalah aku daripada kemaksiatan dan kemurkaanMu ya Allah. Aku memohon padaMu ya Allah, pimpinlah hatiku ini ke jalan yang diredhaiMu. Janganlah kau biarkan ia terjerumus ke lembah maksiat yang penuh dengan dosa dan noda. Hanya kepadaMU ya Allah aku memohon. Aku berserah diri padaMu, Tuhan sekalian makhluk. Tiada lagi tempat untukku mengadu selain kepadaMu ya Allah. Amin ya robb al-‘alamim."
Mukanya diraup perlahan mengaminkan doanya dalam hati. Air mata dipupuk mata disapu dengan hujung jari. Tiada apa yang penting melainkan keredhaan Allah. Biarlah dia berserah segala-galanya kepada Allah. Hanya Dia yang Lebih Mengetahui.
Lampu meja sisi ditutup. Matanya dikatup rapat. Terasa sedikit kelegaan. Akhirnya dia terlelap bersama mimpi-mimpi indah. Semoga hari esok memberikan seribu kenikmatan daripada hari ini. Ameen!